Wednesday, March 31, 2010

Rakyat sanjung tinggi Pemangku Raja Kelantan

KOTA BAHARU, 30 Mac — Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata rakyat menyanjung tinggi Pemangku Raja Kelantan yang menunjukkan sifat yang terpuji sebagai pemerintah.

Beliau berkata sejak dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan pada 24 Mei tahun lepas, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra telah memberikan nasihat yang berguna kepada rakyat dan kerajaan negeri.

“Tuanku pernah menjadi imam solat hajat dan sikap tuanku yang sangat memberikan perhatian kepada rakyat membuatkan tuanku begitu dekat di hati rakyat,” katanya.

Menteri Besar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan taat setia dan tahniah kepada Tengku Muhammad Faris atas pelantikan baginda sebagai Pemangku Raja Kelantan bagi pihak kerajaan negeri dan rakyat pada istiadat penganugerahan gelaran, darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri daripada Pemangku Raja Kelantan di Istana Balai Besar, di sini, hari ini.

Katanya beliau dan rakyat turut mendoakan agar Sultan Kelantan cepat sembuh daripada kegeringan.

Nik Aziz (gambar) berkata jawatan yang tinggi boleh diibaratkan seperti nakhoda yang mengemudi sebuah kapal yang besar yang tentu akan menghadapi banyak dugaan.

“Kapal yang besar mesti sarat dengan muatan dan lautan yang dalam dilayarinya. Tetapi sekiranya nakhoda bijak mengendalikannya maka muatan akan tersusun rapi dan kapal akan selamat ke destinasinya. Maka nakhoda tentulah memerlukan awak-awak yang ikhlas dan jujur,” katanya.

Pada istiadat hari ini, Nik Aziz mendahului senarai 84 penerima gelaran dan darjah kebesaran Kelantan dengan menerima Anugerah Gelaran Kebesaran Datuk Bentara Setia yang membawa gelaran Datuk.

Antara penerima lain ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Ariffin Zakaria (Datuk Lela Negara); Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Datuk Che Yusoff (Datuk Bentara Luar)dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Aiseri Alias (Datuk Seri Setia Raja).

Secara keseluruhannya seramai 639 orang dianugerahkan gelaran, darjah kebesaran, bintang, pingat, Surat Kepujian dan Jaksa Pendamai oleh Pemangku Raja Kelantan.

Selebihnya akan menerima anugerah masing-masing pada satu tarikh yang akan ditetapkan oleh pihak Istana Kelantan.

Pengurniaan darjah kebesaran itu tidak mempunyai kaitan dengan Hari Keputeraan Sultan Kelantan Ke-60 yang disambut hari ini dan esok yang merupakan cuti umum di negeri ini, seperti kelaziman kerana sambutan itu pada kali ini hanya membabitkan majlis tahlil di semua masjid sahaja. — Bernama

Friday, March 12, 2010

HUJAE DOH....ALHAMDULILLAH



Berito nih ambo ambik dr Harakah daily:

MB, Exco, pegawai basah kuyup ketika solat istisqa

M Faqih

KOTA BHARU, 12 Mac: Hujan yang turun di sekitar bandar raya ini membasahkan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan serta ribuan rakyat yang menyertai solat sunat istisqa.

Hujan agak lebat tiba-tiba turun pada rakaat pertama solat sunat Istisqa yang diadakan di Padang Perdana pagi tadi.

Solat tersebut diimamkan Menteri Besar bermula kira-kira jam 8.30 pagi.

Ketika Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedang membawa surah pada rakaat pertama tiba-tiba hujan turun agak lebat sehingga membasahkan ribuan yang menunaikan solat.

Hujan hanya berhenti selepas selesai solat sunat tersebut.

Semua yang hadir termasuk pembesar negeri dan pegawai kanan kerajaan kelihatan basah kuyup.

Program tadi dihadiri hampir kesemua pegawai kanan kerajaan negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Faudzi Che Mamat, Pengelola Istana, Datuk Abdul Halim Hamat dan Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Muhammad.

Solat Istisqa tersebut merupakan kali kedua diadakan di Kelantan selepas pertama kali diadakan beberapa tahun lalu akibat kemarau panjang.

Cuaca kering dan panas kini melanda seluruh negara sehingga ada tempat paras sungai dan empangan semakin surut dan tanah-tanah menjadi merekah.

Ketika membaca khutbah Menteri Besar memalingkan badan ke arah kiblat seketika sebagai mengikut amalan sunnah Rasulullah s.a.w. ketika baginda mengerjakan solat Istisqa.



Hok ni pulok dari FB Pria Malaya:

*Hujan turun sebaik Nik Aziz ketuai solat sunat Istisqa
Oleh Mohd Zuharman

KOTA BARU, 12 Mac – Solat sunat Istisqa’ yang diadakan memohon hujan pagi ini bukan sahaja menakjubkan 2,000 jemaah yang hadir bahkan rakyat negeri ini apabila kerahmatannya langsung terbukti sebaik sahaja solat dimulakan,

Hujan pun mula turun ketika bacaan surah al-Fatihah.

Solat yang dimulakan pada pukul 8.30 pagi ini itu diimamkan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ia diadakan di Padang Perdana bersebelahan jalan berhadapan dengan Stadium Sultan Mohamad IV, dekat sini.

Hadir sama seluruh kepimpinan kerajaan negeri termasuk exco, Adun dan Ahli Parlimen dari parti Pakatan Rakyat.

Nik Aziz yang ditemui selepas solat sunat tersebut melahirkan rasa syukur tidak terhingganya kerana menganggap doa rakyat Kelantan minta diturunkan hujan itu segera dimakbulkan Allah SWT.

“Syukur, kita sembahyang Istisqa’ hari ini mendapat sambutan baik dan di tengah-tengah sembahyang itu turun hujan.

“Saya sendiri telah didedah oleh Allah dengan air hujan yang pertama semasa sembahyang hari ini sangat-sangat besarlah harapan, mudah-mudahan Allah beri pada kita bahagia di dunia dan akhirat.

“Tiada erti kita bahagia di dunia tetapi akhirat kelak kita masuk neraka. Dengan sebab itu saya berusaha supaya rakyat Kelantan faham bahawa kesusahan yang berlaku atas dunia ini adalah berpunca daripada dosa.

“Ayat-ayat Quran banyak menyebut bala yang menimpa manusia ini adalah berpunca daripada dosa.

“Oleh yang demikian kita kena pakat-pakat (sama-sama) tegur, nasihat, tak kiralah dalam apa jua pun keadaan termasuk politik, ekonomi kerana ini cara Islam, bukan cara demokrasi, bukan cara komunis dan juga sosialis, tapi cara Islam” katanya.

Menjawab soalan sama ada solat hajat dan solat istisqa yang diadakan pagi ini sebagai tradisi negeri Kelantan, beliau berkata “wallahualam. Yang pastinya nabi Muhammad SAW sendiri sembahyang istisqa’ setiap kali berlakunya kemarau”.